JOHOR BAHRU:Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menganiaya anak kandungnya sehingga mendatangkan kecederaan fizikal tiga tahun lepas.

Hakim Kamarudin Kamsun menjatuhkan hukuman itu ke atas G Viswanathan, 39, seorang pekerja swasta di Singapura, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi dan memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM40,000 dengan dua penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Pada Ogos 2017, lelaki itu mengaku tidak bersalah sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun, telah menganiaya kanak-kanak tersebut sehingga mengalami kecederaan fizikal di sebuah rumah di Jalan Camar Taman Perling di sini, antara Februari 2017 hingga Ogos 2017.

Viswanathan  dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau ke­dua-duanya.

Seramai lapan saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan yang bermula pada Ogos 2018.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad manakala tertuduh diwakili peguam A. Mathan.

-- BERNAMA